Kuala Klawang, 25 Oktober 2017 – Program Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pejabat Daerah & Tanah Jelebu dan Majlis Daerah Jelebu telah diadakan di Dewan DSURY Kuala Klawang.
Program ini telah dihadiri oleh Puan Yasmin Azura binti Yahya, Timbalan Pengarah SPRM Negeri Sembilan.
Majlis telah bermula pada jam 9.30 pagi dengan ucapan alu-aluan dari Tuan Azman bin Abdullah, Pegawai Daerah Jelebu merangkap Yang DiPertua Majlis Daerah Jelebu.
Seterusnya, Puan Yasmin Azura dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sembilan telah menyampaikan taklimat dan penerangan jelas berkaitan “Ikrar Bebas Rasuah”.
Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) telah di ketuai oleh Tuan Azman bin Abdullah dan disudahi dengan sesi tandatangan IBR disaksikan oleh Puan Yasmin Azura, Timbalan Pengarah SPRM Negeri Sembilan.
Ikrar Bebas Rasuah mengariskan prinsip-prinsip yang perlu diterima pakai oleh Penjawat Awam bagi menunjukkan komitmen mereka kearah mewujudkan persekitaran pemberian perkhidmatan yang adil, telus dan bebas dari rasuah.
Prinsip-prinsip ini bertindak sebagai garis panduan mengenai bidang-bidang yang perlu difokuskan oleh Penjawat Awam bagi memainkan peranan mereka dalam menyumbang kearah usaha-usaha pencegahan rasuah di Malaysia sejajar dengan objektif Bidang Keberhasilan Utama Negara iaitu “Memerangi Rasuah” di bawah Program Transformasi Kerajaan yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak.
Ikrar Bebas Rasuah adalah mewakili satu petalian yang penting antara pembaharuan yang berlaku dalam sektor awam dan penambahbaikan secara berterusan dalam sektor swasta untuk memacu kemajuan negara kearah menjadi sebuah negara maju.