Kuala Klawang, 28 Oktober 2017 – Pejabat ADUN Klawang dengan kerjasama Pejabat Daerah & Tanah Jelebu dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sembilan telah menganjurkan program Merakyatkan Perkhidmatan Awam dan Mini Karnival Keusahawanan @DUN Klawang bermula 27 hingga 29 Oktober 2017 bertempat di Pekan Kuala Klawang, Jelebu.
Program 2 dalam 1 yang bersifat cakna dan mesra rakyat ini dianjurkan secara NBOS melibatkan DUN Klawang, Parlimen Jelebu, Pejabat Daerah & Tanah Jelebu, FAMA Negeri Sembilan dan tiga kementerian utama iaitu Kementerian Pertanian & Asas Tani, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar & Wilayah.
Program Merakyatkan Perkhidmatan Awam adalah merupakan satu inisiatif turun padang mendekatkan diri kepada rakyat melalui penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih efisien serta menepati keperluan, kehendak dan aspirasi mereka. Pendekatan yang dibuat adalah melalui aktiviti pameran/kaunter khidmat pelanggan oleh pelbagai kementerian melibatkan 24 jabatan/agensi yang berada dibawah kementerian masing-masing.
Penganjuran Mini Karnival Keusahawanan adalah merupakan satu inisiatif untuk menyediakan ruang dan peluang kepada para usahawan khususnya di Daerah Jelebu untuk mempromosikan produk mereka kepada pengguna. Melibatkan 64 buah lot gerai jualan merangkumi produk asas tani, anak-anak pokok buah-buahan, semaian, kraftangan, perkhidmatan telekomunikasi, makanan/miniman dan pelbagai lagi. Lain-lain penyertaan adalah 18 unit car boor sale, 1 pasar bergerak 1 Malaysia (FAMA) dan Kopie Satu (FAMA).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB. Dato’ Haji Jalaluddin bin Haji Alias, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (ADUN Pertang). Turut hadir juga, YB. Dato’ Haji Yunus bin Rahmat (ADUN Klawang), Dato’ Haji Ahmad bin Ishak, Ketua Pengarah FAMA, Tuan Azman bin Abdullah, Pegawai Daerah Jelebu, Tuan Muslim bin Manja, Pengarah FAMA Negeri Sembilan dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Sembilan.